Hati-hati tinggalkan komen di medsos ketika PRN Nismilan- polis

SEREMBAN: Polis mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat komen berunsurkan fitnah, berita palsu, hasutan dan penghinaan di media sosial sepanjang proses Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan meminta orang ramai supaya lebih bertanggungjawab ketika menggunakan media.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyalahgunakan platform media sosial dengan memuat naik, berkongsi atau menyebarkan sebarang kenyataan yang boleh membangkitkan kebencian, permusuhan, ketegangan kaum, agama, institusi diraja atau mana-mana pihak yang terbabit dalam proses pilihan raya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang didapati melakukan kesalahan terbabit.

“Tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa, termasuk Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], Akta Hasutan 1948 dan mana-mana undang-undang lain yang berkaitan,” katanya.

Tambahnya lagi, pihak polis juga sudah mempertingkatkan pemantauan terhadap kandungan media sosial sepanjang tempoh pilihan raya.

“Sebarang pelanggaran undang-undang akan disiasat tanpa mengira latar belakang atau kedudukan individu yang terbabit,” katanya.

Sehubungan itu beliau berkata, orang ramai diseru supaya mendapatkan maklumat daripada sumber yang sahih, tidak mudah terpengaruh dengan provokasi serta bersama-sama memelihara keamanan, ketenteraman awam dan keharmonian negara.

“Ia demi memastikan proses PRU Dewan Negeri, Negeri Sembilan Ke-16 berlangsung dalam suasana yang aman, harmoni dan mematuhi lunas undang- undang,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *