Muda tidak bertanding PRN Negeri Sembilan

SEREMBAN : Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mengambil keputusan untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang dijadualkan berlangsung pada 1 Ogos depan.

Sebaliknya, parti itu akan memberi sokongan kepada calon daripada blok progresif, termasuk Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Orang Asli Malaysia (ASLI), selain menumpukan usaha memperkukuhkan parti sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Presiden Muda, Amira Aisya Abd Aziz berkata, keputusan itu dibuat selepas Biro Politik Muda bersama kepimpinan Muda Negeri Sembilan mengambil kira keperluan untuk membina semula kekuatan parti.

“Biro Politik Muda bersama Muda Negeri Sembilan telah membuat keputusan untuk tidak bertanding dalam PRN negeri ini bagi memberi tumpuan membina kekuatan Muda bagi menghadapi PRU16.

“Muda mengambil keputusan untuk memberi sokongan penuh kepada calon-calon daripada blok progresif, iaitu PSM dan sahabat kami daripada ASLI,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat PSM Negeri Sembilan di sini hari ini.

Menurut Amira Aisya, walaupun Muda tidak memenangi sebarang kerusi pada PRN Johor, parti itu menunjukkan peningkatan dari segi peratusan undi berbanding prestasi ketika bertanding di enam negeri pada pilihan raya 2023.

Katanya, perkembangan itu menunjukkan suara blok progresif semakin mendapat penerimaan dalam kalangan rakyat.

“Muda Negeri Sembilan akan menggembleng tenaga untuk membantu kempen calon-calon blok progresif dengan membawa isu berkaitan ekonomi rakyat, perubahan iklim, hak asasi, kesihatan dan pendidikan sepanjang PRN Negeri Sembilan.

“Saya juga akan turun berkempen untuk calon-calon blok progresif. Semoga pilihan raya kali ini dapat menunjukkan betapa pentingnya suara blok progresif dalam landskap politik Malaysia,” katanya.

Pada PRN Negeri Sembilan 2023, Muda hanya bertanding di satu kerusi iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Temiang menerusi calonnya, Ahmad Qusyairi Abdull Rahim.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *