BERSAMA tarik ‘handbrake’ di Nismilan

SEREMBAN: BERSAMA membuat keputusan untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dan mahu fokus terhadap PRN Melaka yang dijadualkan bakal berlangsung dalam beberapa bulan sahaja lagi.

Dalam kenyataan bersama, Rafizi Ramli, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Syukri Razab berkata, perbezaan situasi politik semasa di Johor dan Negeri Sembilan selain faktor isu Adat dan Undang menjadi penyebab BERSAMA menarik diri di Negeri Sembilan.

“Pilihanraya Negeri Sembilan yang akan bermula dengan penamaan calon pada hari Sabtu ini ada beberapa perbezaan ketara dengan PRN Johor baru-baru ini.

“Pertama, persaingan di antara PH dan BN adalah lebih sengit di Negeri Sembilan, termasuk faktor PH sebagai kerajaan negeri.

“Kedua, keputusan PRN Negeri Sembilan berkemungkinan mempengaruhi isu-isu lain yang terheret sama dengan pertembungan politik semasa, termasuk konflik yang melibatkan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.

Jelasnya, mengambil kira isu-isu berkenaan serta kekangan masa dan sumber, BERSAMA berpendapat adalah lebih strategik agar fokus parti itu beralih kepada Pilihanraya Negeri Melaka yang akan diadakan beberapa bulan dari sekarang.

“Oleh itu, BERSAMA tidak akan menyertai PRN Negeri Sembilan untuk memberi sepenuh tumpuan kepada PRN Melaka,” katanya.

Tambahnya, mesyuarat persediaan awal PRN Melaka akan diadakan pada hari Selasa, 21 Julai depan untuk mengenal pasti kerusi dan mula menyaring calon agar dapat diumumkan lebih awal.

“Satu majlis terima kasih kepada sukarelawan BERSAMA yang telah berkhidmat di PRN Johor dengan kehadiran calon PRN Johor juga akan diadakan di Ibu Pejabat BERSAMA 19 Julai 2026 bermula jam 830 malam.

“Kami berharap tempoh masa yang lebih lama memberi ruang kepada BERSAMA masuk ke PRN Melaka dengan lebih bersedia, di samping pertimbangan-pertimbangan lain yang telah diambil kira,” katanya.

Gambar ihsan FB Rafizi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *