SEREMBAN: Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan akan memburu pesalah trafik yang mempunyai saman tertunggak dan waran tangkap di seluruh negeri ini bermula 3 Ogos depan.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzfany Ahmad berkata, Ops Warta itu akan dilaksanakan selama sebulan sehingga 3 September depan.
“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai saman tertunggak, khususnya
membabitkan kesalahan lalu lintas dan dikeluarkan waran tangkap oleh mahkamah dinasihatkan supaya segera membuat semakan.
“Mereka diminta menjelaskan saman masing-masing sebelum tindakan penguatkuasaan dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Alzafny berkata, tempoh selama sebulan diberikan bagi membolehkan orang ramai
menyelesaikan saman tertunggak sebelum operasi dijalankan.
“Semakan status saman dan waran tangkap serta pembayaran saman boleh dibuat di mana-mana kaunter pembayaran saman di setiap daerah atau melalui aplikasi MyBayar PDRM.
“Kegagalan menjelaskan saman tertunggak boleh menyebabkan tindakan tangkapan diambil bagi memastikan perintah mahkamah dipatuhi,” katanya.
Jelas beliau lagi, sepanjang operasi dijalankan, pihak polis akan mengesan dan
menahan individu yang gagal hadir ke mahkamah atau mengabaikan saman
yang dikeluarkan waran tangkap mengikut peruntukan undang-undang.
“Justeru, pihak polis menggesa orang ramai supaya mengambil peluang yang diberikan untuk menyemak dan menjelaskan saman tertunggak bagi mengelakkan sebarang kesulitan.
“Ia termasuk dikenakan tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas pada masa hadapan. Semak, jelaskan dan elakkan tindakan waran tangkap,” tegasnya.