Popular Posts

Mahkamah Tinggi halang Sidang Khas DKU, Raja Norazli kekal setiausaha

SEREMBAN : Mahkamah Tinggi Seremban hari ini membenarkan permohonan injunksi ad interim yang menghalang Sidang Khas Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan (DKU) daripada diadakan serta mengekalkan kedudukan Raja Norazli Raja Nordin sebagai Setiausaha DKU sehingga kes yang difailkan diputuskan oleh mahkamah.

Keputusan tersebut dibuat oleh Hakim Roz Mawar Rozain selepas membenarkan permohonan injunksi yang dikemukakan oleh Raja Norazli dan DKU bagi mengekalkan status quo pentadbiran badan berkenaan.

Peguam Steven Thiru dan David Dinesh Mathew yang mewakili Raja Norazli serta DKU mengesahkan keputusan itu ketika dihubungi.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan pihak peguam, perintah sementara mahkamah tersebut melarang plaintif sama ada secara langsung atau melalui wakil mereka daripada memanggil atau mengadakan sebarang mesyuarat DKU, termasuk Sidang Khas yang dijadualkan berlangsung hari ini.

Mahkamah turut memerintahkan supaya tiada sebarang tindakan diambil untuk menggantung, menyingkirkan, menggantikan atau mengganggu Raja Norazli dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya sebagai Setiausaha DKU.

Selain itu, tiada jawatankuasa, individu atau badan lain dibenarkan mengambil alih fungsi serta bidang kuasa yang terletak di bawah tanggungjawab Setiausaha DKU. Mahkamah juga melarang sebarang keputusan atau tindakan berkaitan pentadbiran, tadbir urus, prosiding dan urusan DKU yang boleh mengubah kedudukan sedia ada sebelum 21 Mei lalu.

Menurut kenyataan tersebut, injunksi itu akan terus berkuat kuasa sehingga mahkamah mendengar dan memutuskan isu bidang kuasa serta kebolehbicaraan kes berkenaan, selain tertakluk kepada sebarang perintah lanjut yang mungkin dikeluarkan pada masa akan datang.

Perintah itu secara efektif menghalang sebarang usaha untuk menyingkirkan Raja Norazli daripada jawatan Setiausaha DKU, mengambil alih urusan pentadbiran badan berkenaan atau mengeluarkan kenyataan media yang menyentuh hal ehwal DKU.

Dalam prosiding tersebut, Raja Norazli dan DKU diwakili pasukan peguam yang diketuai Steven Thiru bersama David Dinesh Mathew, Shafrin Halim, Gregory Das dan Gurjeevan Singh.

Plaintif pula diwakili oleh Awang Armadajaya, Datuk Rhiza Ghazi dan Asmawi Ismail.

Plaintif dalam kes ini terdiri daripada bekas Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Mubarak Thahak; Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad; Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah; Undang Luak Rembau, Datuk Abdul Rahim Yasin; Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri; serta Shahbandar Sungai Ujong, Datuk Seri Badarudin Abdul Khalid.

Sementara itu, defendan ketiga iaitu Kerajaan Negeri Sembilan diwakili oleh Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Muzalmah Mustapha Kamal bersama Aala’uddin Baharom.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *