Popular Posts

Kemelut politik dan adat- PDRM tidak memihak mana-mana

SEREMBAN: Kehadiran polis di pintu masuk Balai Rasmi Tunku Besar Tampin, di Tampin adalah memastikan keselamatan dan ketenteraman awam tanpa memihak kepada mana-mana pihak.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, penugasan tersebut dilaksanakan selaras dengan fungsi dan tanggungjawab PDRM sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 21 Akta Polis 1967.

“Pihak kami menerima maklumat berhubung kehadiran orang ramai di kawasan pintu masuk Balai Rasmi Tunku Besar Tampin sebelum Ketua Polis Daerah Tampin mengatur penugasan pegawai serta anggota polis bagi menjalankan kawalan keselamatan dan pemantauan situasi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, langkah itu diambil bagi memastikan ketenteraman awam, keselamatan orang ramai serta kelancaran keadaan di lokasi sentiasa terpelihara.

“Ia diambil mengikut peruntukan undang-undang untuk memelihara keamanan, keselamatan dan ketenteraman awam serta mencegah berlakunya sebarang perlakuan yang menyalahi undang-undang,” katanya.

Jelas beliau lagi, PDRM turut menerima satu salinan perintah mahkamah yang berkaitan dengan perkara berkenaan pada hari ini.

Menurutnya, pihak polis menghormati proses perundangan yang sedang berjalan dan akan terus melaksanakan tugas serta tanggungjawab mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya bertenang, mematuhi undang-undang serta tidak terlibat dalam sebarang tindakan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam atau mengganggu proses yang sedang berjalan.

Menurut beliau, keadaan keselamatan di lokasi ketika ini adalah terkawal dan PDRM akan terus memantau perkembangan semasa serta mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan keamanan dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara.

Terdahulu media melaporkan Mesyuarat Dewan Keadilan dan Undang (DKU) yang dijadualkan berlangsung di Balai Rasmi Kediaman Tunku Besar Tampin, pagi tadi kecoh apabila pembesar adat dilarang masuk ke dalam kawasan kediaman rasmi terbabit oleh pihak berkuasa.

Kekecohan itu berlaku di luar pintu masuk utama kediaman terbabit sebaik pembesar adat itu tiba di lokasi berkenaan sekitar jam 8.30 pagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *