1
1

SEREMBAN : Padah menunjukkan aksi lagak ‘wheelie’ dan ‘zig-zag’, empat penunggang motosikal lelaki ditahan polis dalam Ops
Samseng Jalanan di Jalan Persiaran Senawang 1 di sini awal.pagi tadi.
Malah difahamkan, seorang samsemg jalanan yang bertindak nekad merempuh sebuah kereta persendirian milik anggota polis untuk meloloskan diri dalam operasi itu juga ditahan untuk siasatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Yatim Osman berkata, empat individu tersebut ditahan kerana telah melakukan aksi ‘Whillie’ dengan cara mengangkat tayar hadapan secara melutut dengan satu kaki di atas tempat duduk motosikal.
“Mereka turut dikesan melakukan aksi bersaing sesama sendiri aksi (zig-zag) dimana perbuatan tersebut boleh membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya yang lain.
“Selain itu, seorang penunggang motosikal berusia 37 tahun yang didapati berada di bawah pengaruh alkohol turut ditahan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mohd. Yatim berkata, dalam operasi sama, sebanyak 19 motosikal telah disita kerana diubah suai dan digunakan dengan cara yang membahayakan pengguna jalan raya lain.
Beliau berkata, polis telah mengeluarkan 209 saman atas pelbagai kesalahan membabitkan kenderaan dan individu dalam operasi tersebut yang bermula pukul 10 tengah malam hingga 6 pagi tadi.
“Antara kesalahan yang dilakukan ialah pengubahsuaian ekzos, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, tiada nombor pendaftaran, tiada cermin sisi, tiada lesen memandu serta tiada perlindungan insurans.
“Kita turut menyita 19 motosikal dan menahan empat lelaki berusia antara 16 hingga 37 tahun di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 45A(1) akta sama kerana menunggang di bawah pengaruh alkohol,” katanya.
Jelas Mohd Yatim berkata, pemeriksaan turut mendapati terdapat individu yang dipercayai hadir sebagai pemerhati dan penyokong kepada kumpulan yang disyaki terbabit lumba haram.
“Kita bukan hanya memeriksa pelumba malah individu yang hadir memberi sokongan dan galakan kerana mereka secara tidak langsung menyediakan ruang kepada penganjuran aktiviti yang menyalahi undang-undang,” katanya.
