1
1
WANITA LAWAN ARUS, PERTAMA KALI LALU JALAN INI
SEREMBAN: Seorang wanita ditahan polis selepas didapati memandu secara melawan arus di Jalan Persiaran Utama S2/1, berhampiran Aeon Seremban, di sini, tengah hari kelmarin.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, kira-kira jam 11 pagi semalam, pihaknya mengesan satu video berdurasi 1 minit 59 saat yang tular menunjukkan sebuah SUV jenis Honda CRV berwarna perak yang dilihat memandu secara melawan arus di sekitar bandar Seremban yang mana cara pemanduan membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain.
“Kejadian dipercayai berlaku pada jam 1.58 tengah hari kelmarin di Jalan Persiaran Utama S2/1.
“Usaha mengesan suspek dibuat oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Seremban sebelum pemandu seorang wanita tampil ke Pejabat BSPTD Seremban,” katanya.
Jelas beliau, suspek yang berusia 30-an itu dikatakan baru kali pertama menggunakan laluan berkenaan.
“Suspek mengaku sebagai pemandu SUV seperti dalam video yang tular. Dia ditahan bersama SUV itu di BSPTD Seremban untuk tujuan siasatan.
“Wanita itu kemudiannya dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Seremban untuk saringan air kencing dan hasil ujian adalah negatif sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut,” katanya.
Ujarnya, individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Tiew Chuan Jie di talian 014-9668399 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.
Video dan gambar kredit pembaca