1
1
NILAI: Kerajaan negeri merancang untuk mempelbagai produk seperti vaksin dan kosmetik halal di kawasan perindustrian Techpark @ Bandar Enstek Halal Hub, di sini.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ia selepas kawasan perindustrian hab halal sedia ada yang berasaskan produk makanan dilihat berjaya menarik minat pelbagai syarikat multinasional untuk membina kilang di kawasan itu.
Aminuddin berkata, kawasan perindustrian berkenaan menawarkan kemudahan utiliti penuh, infrastruktur teknologi dan insentif industri selain turut diperakui HALMAS.
“Ini kawasan halal yang menjadi tumpuan. Dengan kemudahan halal yang baik ini menjadi faktor pendorong banyak syarikat multinasional berada di Negeri Sembilan.
“Kita bukan hanya menetapkan kawasan ini sebagai hab halal makanan sahaja, malah kawasan yang akan menempatkan produk yang lebih banyak lagi seperti farmaseutikal, kosmetik dan vaksin halal,” katanya.

Terdahulu beliau hadir menyempurnakan Majlis Perasmian Kilang Baharu Mahsuri Food Sdn Bhd di Techpark @ Bandar Enstek Halal Hub, hari ini.
Mengulas mengenai lokasi hab halal baharu itu, Aminuddin yang juga Exco Pelaburan, Infrastruktur, Utiliti dan Kemudahan Awam berkata, ia dijangka dibina di kawasan Techpark 3.
Aminuddin berkata, dengan kehadiran Mahsuri Food dan beberapa syarikat lagi memberikan impak yang baik dan menunjukkan bahawa hab halal yang utama di negara ini berada di Negeri Sembilan.
Beliau berkata, perasmian kilang Mahsuri Food hari ini bukan sekadar pembukaan sebuah kilang, tetapi lambang keyakinan pelabur terhadap potensi dan masa depan Negeri Sembilan sebagai destinasi pelaburan yang progresif, stabil dan diyakini.
“Pada tahun 2023, saya menyempurnakan majlis pecah tanah projek ini. Hari ini, kita menyaksikan bagaimana sebuah perancangan berjaya diterjemahkan menjadi realiti.
“Inilah yang kerajaan negeri mahu lihat, pelaburan yang bergerak pantas, memberi impak nyata dan membawa manfaat terus kepada rakyat,” katanya.
Gambar kredit Media MBNS