Popular Posts

Matikan GPS lori, tonto dibayar upah lumayan ‘ganggu’ JPJ

NILAI : Kegiatan tonto di sekitar daerah ini masih aktif apabila mereka dikesan dibayar kadar upah lumayan oleh syarikat pengangkutan untuk memberikan maklumat atau menggagalkan tugas penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Jasyindar Singh Sihdu berkata, dalam operasi lori membawa lebih muatan, anggota penguatkuasa JPJ telah diekori oleh tonto berkenaan, malah ada satu kes anggota JPJ hampir kemalangan pada tahun lalu dan kes masih dibicara di mahkamah.

“Biasanya syarikat pengangkutan terutama lori akan membayar tonto ini untuk melihat gerak geri JPJ kemudian memaklumkan kepada operator syarikat untuk mematikan 

peranti Sistem Penentu Kedudukan Global

 (GPS).

“Bayaran diberikan cukup tinggi dan lumayan, tonto ini dari sindiket yang sama terdiri daripada tiga individu dalam sebuah kereta pacuan empat roda biasanya jenis Toyota Hilux,” katanya pada sidang akhbar di Jalan Kuari Labu-Nilai di sini hari ini.

Jelas Jasyindar, kesalahan tonto yang melengah atau menghalang tugas JPJ serta mematikan GPS boleh dikenakan tindakan di bawah Sesyen 234(b) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.

“Selain tonto, pemandu lori juga dikesan enggan bekerjasama dengan pihak JPJ apabila diminta memberikan kad pengenalan selain membisu apabila disoal.

“Apabila syarikat mematikan GPS, lori ini tidak boleh bergerak apabila diminta ke stesen timbang dan tindakan lebih berat boleh dikenakan dengan menggantung permit syarikat,” katanya.

Katanya, tindakan penggantungan permit ini  paling ditakuti oleh syarikat kerana ia boleh melumpuhkan operasi mereka apabila perlu melalui proses siasatan yang lama

Menurut beliau, dua lokasi hotspot lori membawa lebih muatan dikesan di Nilai termasuk di Jalan Kuari Labu – Nilai dengan kebanyakan lori membawa muatan batu-bata dan pasir.

Sementara itu katanya, daripada jumlah kesalahan yang direkodkan, kategori kesalahan teknikal mencatatkan bilangan kesalahan tertinggi bagi tahun 2025 iaitu 13,882 kes manakala Januari hingga April tahun ini kesalahan pelesenan pemandu kes paling tinggi iaitu 2,128 kes.

Ujarnya, sebanyak 291 buah kenderaan barangan telah disita pada tahun 2025 hingga April tahun ini, manakala sebanyak lima yang telah dilucut hak sepanjang tempoh tersebut.

“Bagi kesalahan di bawah APAD 2010, sebanyak 562 kes direkodkan sepanjang tahun lalu dengan kesalahan membawa lebih muatan paling tinggi iaitu 314 kes sepanjang tahun lalu manakala 32 kes dalam tempoh Januari hingga April tahun ini.

“Sebanyak tujuh kes dijatuh hukum dengan jumlah denda terkumpul sebanyak RM97,000 manakala 13 kes lagi dalam peringkat perbicaraan,”katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *