
SEREMBAN : Tiada kata boleh diucap oleh mangsa keganasan rumah tangga, Jahidah Nordin, 48, sebaliknya hanya menitiskan air mata apabila dibisikkan hukuman yang dijatuhkan terhadap bekas suaminya, Rosmaini Abd. Raof.
Rosmaini, 43, dijatuhi hukuman penjara 14 tahun oleh Mahkamah Rayuan di Putrajaya hari ini dan perlu membayar ganti rugi RM25,000 kepada Jahidah atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap wanita itu, lima tahun lalu.
Adiknya, Fauziah Nordin, 45, berkata, dalam keadaan Jahidah masih terlantar, dia masih boleh memberikan tindak balas walaupun hanya dengan reaksi muka.
“Saya terus pegi jumpa Kak Jahidah cakap Rosmaini Abd. Raof telah ditambah hukuman penjara (14 tahun) dan perlu bayar ganti rugi RM25,000 kepada Jahidah.
“Muka dia lega berubah sangat nampak tenang, tetapi dia menitiskan air mata seolah-olah dia faham apa yang berlaku,” katanya.
Jelas Fauziah, dia sekeluarga bersyukur apabila Mahkamah Rayuan menambah hukuman penjara terhadap Rosmaini daripada 10 kepada 14 tahun, namun semuanya tidak dapat mengubah nasib Jahidah.
“Saya gembira, sedih, semuanya bercampur baur dalam hati ini apabila tahu keputusan hukuman ke atas lelaki itu. Waktu baca berita itu, saya menangis, sebak.
“Kalau ikutkan hukuman tidak setimpal dengan keadaan Kak Jahidah yang sudah terlantar 100 peratus, macam saya sendiri jaga dia dan sentiasa doakan dia tidak rasa sakit,” katanya.
Fauziah dalam nada sebak berkata, Allah telah mengabulkan doanya dan semua orang yang sentiasa mendoakan Jahidah yang telah dianiaya serta dizalimi oleh Rosmaini dalam tragedi lima tahun lalu.
Fauziah turut berharap Rosmaini akan membayar ganti rugi sebanyak RM25,000 kepada Jahidah, yang mana wang tersebut akan digunakan untuk membesarkan anak mereka, Eshan Nufail yang kini berusia lima tahun dan berstatus orang kelainan upaya (OKU).
“Jika dia bayar wang itu, bolehlah digunakan untuk besarkan Nufail. Itu pun kalau dia ada duit, kalau tidak, ditambah penjara lagi enam bulan,” katanya.
Dalam pada itu, Fauziah turut menyifatkan wanita yang menjadi mangsa terbaharu Rosmaini sehingga teruk dipukul dan keguguran di Sungai Petani, Kedah bernasib baik kerana masih boleh bercakap dan dapat menegakkan kebenaran.
“Berbanding dengan Kak Jahidah, dia tidak boleh bercakap. Dia tidak boleh nak beritahu kita apa yang dia alami, beritahu kepada polis.
“Lelaki itu nampaknya memang tidak serik. Kepada wanita di luar sana, berhati- hati dengan manusia seperti ini,”katanya.
Terdahulu media melaporkan, hukuman maksimum itu dikenakan terhadap Rosmaini, selepas panel tiga hakim sebulat suara menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman penjara 10 tahun oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini.
Pada 4 November tahun lalu, Mahkamah Tinggi mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen pada 9 Disember 2024 yang mensabit dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap Rosmaini.
Dalam perkembangan lain, Fauziah juga terkilan apabila sebuah rancangan televisyen menemu ramah pelaku dalam kes keganasan terhadap kakaknya iaitu Rosmaini.
“Saya kecewa dan apa yang dikatakan oleh pelaku (ketika ditemu bual) amat mengguris hati kami sekeluarga, apa yang dipaparkan mengenai Kak Jahidah adalah fitnah sedangkan perkara itu tidak betul,” katanya.
Baru-baru ini, rancangan televisyen itu memaparkan kisah Jahidah yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga sehingga koma dan kini terlantar mendapat kritikan netizen kerana menemu bual pelaku kes.