SEREMBAN: Stesen IPU Nilai dan Seremban mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat, semalam.
Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan berkata, hasil siasatan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan mendapati tiada kes tidak pembakaran terbuka dilaporkan di negeri ini.
“Saya memandang serius peningkatan bacaan IPU di beberapa kawasan di Negeri Sembilan seperti yang dilaporkan JAS Negeri Sembilan.
“Berdasarkan laporan, IPU pada jam 7 pagi semalam menunjukkan bacaan 119 di Stesen IPU Nilai dan Seremban iaitu tidak sihat manakala di Stesen IPU Port Dickson pada paras sederhana (80),” katanya dalam satu kenyataan.

Jelas beliau, keadaan itu jelas menunjukkan kemerosotan kualiti udara yang perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak.
“Hasil semakan JAS Negeri Sembilan mendapati tiada pembakaran terbuka berskala besar dikesan di dalam Negeri Sembilan setakat ini.
“Namun begitu, satu titik panas dikenal pasti di Mukim Batu, Kuala Langat, Selangor yang berjarak kira-kira 40 kilometer dari stesen IPU Nilai dan berkemungkinan menyumbang kepada peningkatan bacaan IPU di negeri ini,” katanya.
Veerapan berkata, sehubungan pihaknya menyokong tindakan proaktif JAS Negeri Sembilan yang sedang menjalankan semakan lanjut bersama JAS Negeri Selangor bagi mengenal pasti punca sebenar serta mengambil tindakan segera.
“Dalam masa yang sama, saya ingin mengingatkan orang ramai supaya mengurangkan aktiviti luar sekiranya tidak perlu, memakai pelitup muka ketika berada di luar dan memastikan golongan berisiko seperti kanak-kanak, warga emas dan pesakit pernafasan diberi perlindungan sewajarnya,” katanya.
Ujar beliau, kerajaan negeri tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melakukan pembakaran terbuka dan akan mengambil tindakan tegas selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.
“Saya juga menggesa semua pihak supaya bekerjasama dengan pihak berkuasa dengan melaporkan sebarang aktiviti pembakaran terbuka bagi memastikan kualiti udara dapat dikawal dan kesihatan rakyat terus terpelihara.
“Kerajaan Negeri akan terus memantau keadaan ini dari masa ke semasa dan akan mengambil segala langkah yang perlu demi kesejahteraan rakyat Negeri Sembilan,” katanya.
#indekspencemaranudara #kebakaran #tragedy