SEREMBAN: “Tolong masukkan saya ke media, sekarang sudah tak ramai pelanggan yang datang ke sini,” luah warga emas, Chiew Chea Cheong, 71.
Chiew kini satu-satunya peniaga yang masih kekal beroperasi di Wisma Punca Emas, di tengah bandar Seremban, di sini.
Suatu masa dahulu, wisma ini umpama nadi bagi rakyat Negeri Sembilan khususnya warga Seremban apabila menjadi tempat berkumpul, membeli-belah dan berhibur.

Namun, seiring dengan peredaran zaman dan kejadian kebakaran 2018 menyebabkan semua peniaga keluar, hanya tinggal seorang tukang jahit dengan nama kedainya ‘GENTLEMEN’.
Ketika tinjauan dibuat, bangunan berkenaan gelap gelita tanpa bekalan elektrik dan air, malah Chiew terpaksa menggunakan bekalan tenaga daripada generator.
Chiew ketika ditemui berkata, pelanggan semakin berkurang dan dia bernasib baik kerana ada pelanggan tetap yang menjahit atau menempah baju korporat, baju raya dan baju batik.
“Saya jahit baju bukan untuk kaya, sekadar untuk cari makan, isi perut. Sekarang memang kurang pelanggan datang, boleh tolongkkan masukkan saya ke media,” katanya.