KUALA PILAH : Beberapa kawasan di daerah ini dan Rembau dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat yang melands hari ini.
Antara lokasi terjejas ialah Kampung Nuri, Johol, di sini dan Kampung Kundur Hulu, Rembau.
Banjir kilat terbabit turut meragut nyawa seorang lelaki warga emas berusia 74 tahun setelah kereta Perodua Myvi dipandunya dihanyutkan arus deras banjir.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan berkata, mayat mangsa yang merupakan pesara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ditemui terperangkap di dalam kereta tersebut pada pukul 9.22 malam.
“Sebelum itu, mangsa yang memandu kereta Perodua Myvi berkenaan dikatakan mengharung jalan yang ditenggelami banjir.
“Keretanya tiba-tiba gagal dikawal lalu dihanyut deras hingga terjunam ke dalam parit berhampiran Sungai Kampung Kundur Hulu, Rembau,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, banjir kilat di Kampung Nuri pula menjejaskan lima buah rumah penduduk sedalam kira-kira 0.32 meter bermula pukul 5.37 petang.