SEREMBAN : Situasi di Balai Kediaman Undang Luak Sungei Ujong di sini menjadi tumpuan apabila premis berkenaan dikawal ketat polis susulan pembatalan pertemuan dan sesi suai kenal Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar bersama Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim.
Difahamkan, Tuanku Nadzaruddin bersama Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin dan Dato’ Syahbandar Sungei Ujong berada di balai kediaman berkenaan sebelum kenderaan rasmi mereka dilihat meninggalkan lokasi secara berperingkat.
Tinjauan Nogori Post mendapati beberapa anggota polis ditempatkan di sekitar Balai Kediaman Undang Luak Sungei Ujong sejak kira-kira pukul 10.40 pagi tadi.
Media yang berada di lokasi bagaimanapun tidak dibenarkan membuat liputan dari kawasan berkenaan.
Kawalan keselamatan itu berterusan sehingga kira-kira pukul 12 tengah hari sebelum anggota polis dilihat beredar pada pukul 12.25 tengah hari.
Pada masa sama, kenderaan rasmi Tuanku Nadzaruddin dan pembesar adat turut dilihat keluar dari balai kediaman tersebut secara berperingkat.
Terdahulu, pertemuan dan sesi suai kenal Tuanku Nadzaruddin bersama Ismail serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di Galeri Diraja Tuanku Ja’afar di sini dilaporkan dibatalkan atas faktor keselamatan.
Menurut sumber, Ismail sepatutnya menghadap Tuanku Nadzaruddin pada Majlis Menghadap Sembah Takzim pada pukul 9 pagi tadi.
Bagaimanapun, beliau tidak hadir pada majlis tersebut sebelum perjumpaan ringkas bersama barisan Exco diadakan di Hotel Royale Chulan, di sini.
Perkembangan itu berlaku ketika isu berkaitan adat dan institusi Undang di Negeri Sembilan terus menjadi perhatian.
Nogori Post sedang mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak berkuasa dan pihak berkaitan berhubung perkembangan tersebut.
Kenderaan rasmi Tuanku Nadzaruddin dan semua pembesar adat juga dilihat telah keluar dari Balai Kediaman Undang Luak Sungei Ujong secara berperingkat sehingga 12.25 tengah hari tadi.