
SEREMBAN : Pertemuan dan sesi suai kenal Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar dengan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di Galeri Diraja Tuanku Ja’afar di sini dibatalkan atas faktor keselamatan.
Menurut Sumber, Ismail sepatutnya menghadap Tuanku Nadzaruddin pada Majlis Menghadap Sembah Takzim pukul 9 pagi tadi, bagaimanapun beliau tidak hadir dan perjumpaan ringkas bersama Exco kemudian diadakan di Hotel Royale Chulan di sini.
Difahamkan Tuanku Nadzaruddin dan pembesar adat dihalang untuk hadir ke Galeri Diraja Tuanku Ja’afar.
Terdahulu, kenderaan rasmi Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad dilihat keluar dari perkarangan Hotel Royale Chulan kira-kira pukul 10 pagi.
“Kami dapat nasihat daripada pihak berkuasa supaya jangan teruskan (majlis) atas faktor keselamatan.
“Datuk Ismail kemudian mengadakan perjumpaan ringkas dengan Exco dan sebahagian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) tanpa kehadiran Undang Yang Empat dan Tuanku Nadzaruddin di kafe hotel selama satu jam,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Adun Gemas, Ridzuan Ahmad, ketika ditemui media enggan memberikan sebarang maklum balas dan hanya mengunci mulut tentang perjumpaan tersebut
Kenderaan rasmi Menteri Besar dan Exco kemudian dilihat meninggalkan perkarabgan hotel setengah jam kemudian.
Semalam, media melaporkan, pertemuan yang dijadualkan pada pukul 9 pagi itu diadakan bagi sesi suai kenal serta mengeratkan silaturahim antara Menteri Besar dan barisan Exco dengan Tuanku Nadzaruddin.
Turut dijangka hadir ialah Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin dan Dato’ Syahbandar Sungei Ujong.
habis