SEREMBAN – Barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan kekal seperti sedia ada dan masih menjalankan tugas selepas Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim, menegaskan tiada keperluan untuk mengemukakan senarai Exco baharu.
Ismail berkata, pendirian itu dibuat berdasarkan tafsiran perundangan serta sempadan kuasa eksekutif yang diperuntukkan di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.
Menurutnya, sistem pentadbiran Negeri Sembilan berteraskan prinsip Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen, dengan kuasa pentadbiran negeri hendaklah dijalankan mengikut kerangka perlembagaan yang ditetapkan.
Beliau berkata, berdasarkan Perkara 40(1) UUTKNS 1959, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan hendaklah bertindak mengikut nasihat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Menteri Besar dalam menjalankan fungsi pentadbiran atau eksekutif di bawah Bahagian Kedua Perlembagaan Negeri.
Katanya, kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Besar dalam urusan pentadbiran pula adalah terhad kepada perkara-perkara yang dinyatakan secara bertulis di bawah Perkara 40(2) UUTKNS 1959.