SEREMBAN: Bekas Menteri Undang-Undang, Datuk Zaid Ibrahim menggesa kerajaan Persekutuan segera menyelesaikan krisis institusi raja dan adat di Negeri Sembilan yang kian meruncing.
Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu cepat merujuk dengan Majlis Raja-Raja sebelum kemelut di Negeri Sembilan kian memburuk sehingga memaksa darurat diisytiharkan.
“Perdana Menteri dan Raja-Raja Melayu mesti duduk bersama untuk mencari penyelesaian secara baik.
“Rujuk isu-isu tersebut kepada Mahkamah Persekutuan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya hari ini.
Zaid berkata, antara jalan penyelesaiannya keabsahan Tuanku Muhriz Tuanku Munawer sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan serta Undang yang sah perlu diputuskan oleh panel Mahkamah Persekutuan.
Pengamal undang-undang berpengalaman tersebut berkata, semua pihak kemudiannya perlu akur dengan keputusan panel penuh mahkamah berkenaan.
“Sekiranya gagal, pengisytiharan darurat perlu dipertimbangkan di Negeri Sembilan,” katanya.