SEREMBAN: Pasukan operasi mencari dan menyelamat (Ops SAR) berjaya mengesan dan membawa turun dua beradik yany dikatakan sesat ketika melakukan aktiviti rekreasi di kawasan Bukit Putus, berhampiran Kampung JKIN Extreme Park, di sini, petang semalam.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, salah seorang mangsa berjaya dihubungi dan berkongsi lokasi mereka menggunakan aplikasi Whatsapp sebelum memulakan Ops SAR.
“Operasi membabitkan anggota polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penunjuk arah (pointer) dari Kampung JKIN.
“Mangsa ditemui kira-kira jam 12.32 tengah malam tadi dan berjaya dibawa turun ke Kampung JKIN pada jam 2.15 pagi sebelum dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar, di sini, untuk menerima rawatan,” katanya.

Terdahulu beliau berkata, polis menerima panggilan daripada mangsa melalui MERS 999 memaklumkan kejadian dua lelaki tempatan berusia 55 tahun dan 60 tahun dikatakan sesat di atas Bukit Putus.
“Pihak Balai Polis Paroi bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) hadir ke lokasi pada jam 6.17 petang bagi menjalankan operasi SAR.
“Pihak polis menasihatkan orang ramai yang menjalankan aktiviti rekreasi atau pendakian supaya sentiasa memastikan persediaan yang mencukupi, memaklumkan pergerakan kepada pihak berkaitan serta tidak mengambil mudah aspek keselamatan ketika berada di kawasan hutan,” katanya.
Gambar ihsan JBPM