Wang tiket aksi NSFC vs KL City dipulangkan

SEREMBAN: Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) memulangkan semula wang kepada pembeli tiket perlawanan Liga Super antara Negeri Sembilan FC (NSFC) dan Kuala Lumpur City FC yang dibatalkan pada 22 Ogos lalu.

Jurucakap PBNS berkata, individu terlibat juga diberi opsyen untuk menukar kepada tiket baharu bagi perlawanan NSFC menentang Star City FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini pada 5 September depan.

“Pemulangan wang bagi pembeli tiket fizikal boleh dituntut di Pejabat NSFC, Wisma PBNS pada pukul 10 pagi hingga 6 petang, 1 hingga 4 September ini.

“Pindahan wang akan dilakukan terus secara dalam talian sebaik tiket fizikal dikembalikan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jurucakap PBNS berkata, penukaran tiket bagi perlawanan NSFC menentang Star City pula boleh dilakukan di pejabat sama pada 1 hingga 5 September ini.

Beliau berkata, pengkreditan bagi tiket yang dibeli dengan kad debit dan kredit pula akan diterima secara automatik dalam tempoh antara tujuh dan 14 hari selepas 2 September ini.

“Individu yang membeli tiket secara pembankan dalam talian dan e-dompet pula akan menerima emel bermula 2 September depan.

“Ikut arahan emel itu dan pembayaran semula akan dilakukan dalam tempoh antara tujuh dan 14 hari,” katanya.

Terdahulu NSFC diberi kemenangan percuma 3-0 manakala KL City pula didenda RM50,000 ekoran kegagalan skuad Ibu Kota menghantar pemain beraksi pada aksi pertama Liga Super.

Kredit gambar : NSFC

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *