SEREMBAN : Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 24 Ogos depan bagi keputusan saman pemula yang difailkan Kerajaan Negeri Sembilan untuk mendapatkan perintah pengosongan serta-merta Balai dan Kediaman Rasmi Undang Rembau serta Undang Sungei Ujong.
Hakim Roz Mawar Rozain menetapkan keputusan kes itu dibuat secara dalam talian menerusi aplikasi Zoom pada pukul 4 petang.
Mahkamah sebelum itu mendengar hujahan daripada pihak pemohon, Kerajaan Negeri Sembilan yang diwakili peguam, Muhammad Hariz Md Yusoff.
Responden dalam kes berkenaan ialah Abdul Rahim Yasin dan Datuk Mubarak Dohak selain semua penghuni atau individu yang menduduki Balai dan Kediaman Rasmi Undang Rembau serta Undang Sungei Ujong.
Dalam hujahnya, Muhammad Hariz berkata, Kerajaan Negeri Sembilan masih tidak mendapat akses terhadap empat premis berkenaan hampir 50 hari selepas notis pengosongan masing-masing dikeluarkan pada 29 April dan 29 Jun lalu.
Beliau berkata, pihak responden masih menduduki balai dan kediaman rasmi berkenaan sehingga hari ini.
“Kerajaan Negeri Sembilan adalah pemilik dan pihak berkuasa yang sah ke atas premis-premis tersebut yang telah digazetkan sebagai tanah rizab awam di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara.
“Responden pertama (Abdul Rahim) menduduki premis-premis tersebut semata-mata atas dasar kebenaran atau lesen yang diberikan berdasarkan kapasitinya dipercayai sebagai Undang Luak Rembau sebelum ini dan tiada hubungan penyewaan pernah wujud antara pemohon dengan responden,” katanya.
Pihak pemohon turut diwakili Penolong Penasihat Undang-Undang Negeri, Ala’uddin Baharom dan peguam, Ahmad Khalil Md. Rofiee.
Abdul Rahim serta Balai dan Kediaman Rasmi Undang Rembau pula diwakili peguam, Choo Shi Jin, manakala Mubarak serta Balai dan Kediaman Rasmi Undang Sungei Ujong diwakili peguam, Asmawi Ismail.
Dalam hujahan balas, kedua-dua peguam responden berhujah bahawa Kerajaan Negeri Sembilan tidak mempunyai locus standi (kelayakan atau hak di sisi undang-undang) untuk memulakan tindakan berkenaan.
Sebaliknya, mereka berhujah pihak yang mempunyai hak untuk mengambil tindakan tersebut ialah Pengarah Tanah dan Galian Negeri Sembilan.
Saman pemula itu difailkan Kerajaan Negeri Sembilan terhadap kesemua responden pada 16 dan 17 Julai lalu.