Awaludin dilantik Speaker DUN Negeri Sembilan kali kedua

SEREMBAN : Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau, Datuk Seri Dr. Awaludin Said dilantik Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan buat kali kedua hari ini.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota tersebut mengangkat sumpah jawatan pada Persidangan Pertama (Khas) Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan ke-16.

Terdahulu pelantikan Awaludin, 66, diusulkan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim sebelum disokong Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar dan Pembangunan Wilayah negeri, Datuk Mohd Faizal Ramli.

Sebelum ini, Awaludin pernah menggalas jawatan Speaker DUN Negeri Sembilan buat kali pertama dalam tempoh 2013 hingga 2018.

Sementara itu, ADUN Paroi, Kamarul Ridzuan Mohd Zain, 59, mencipta sejaraj menjadi wakil rakyat pertama Pas yang dilantik Timbalan Speaker DUN Negeri Sembilan.

Kamarul Ridzuan yang merupakan Timbalan Pesuruhajaya Pas negeri merupakan salah seorang daripada empat wakil rakyat parti itu yang memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) menerusi Perikatan Nasional (PN) pada 1 Ogos lalu.

Dalam Sidang DUN sama, seramai 35 daripada 36 wakil rakyat termasuk 11 pembangkang mengangkat sumpah sebagai ADUN Negeri Sembilan.

Satu-satunya ADUN yang tidak berbuat demikian ialah Datuk Seri Mohamad Hasan disebabkan tugasan rasmi sebagai Menteri Luar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *