SEREMBAN: Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) mengiktiraf Negeri Sembilan sebagai salah sebuah negeri terbaik dalam ketelusan belanjawan.
Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Aira Azhari berkata, Negeri Sembilan merupakan antara negeri yang mempunyai skor dedahan tertinggi bagi Indeks Belanjawan Terbuka Malaysia (MyOBI) 2026.
“Negeri Sembilan mencapai skor 63 mata di tangga keempat di belakang Terengganu (77), Selangor (70) dan Perak (65).
“MyOBI menilai kebolehcapaian maklumat belanjawan kepada orang awam, pemantauan legislatif oleh DUN dan peluang penglibatan awam dalam proses belanjawan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Aira berkata, Negeri Sembilan dilihat komited menyediakan lima daripada tujuh dokumen belanjawan yang dinilai
dalam tempoh ditetapkan.
Dalam pada itu, beliau berkata, empat negeri iaitu Johor, Melaka, Sarawak dan Pulau Pinang pula mencapai tahap dedahan minimum pada skor antara 58 hingga 44 mata.
“Pahang, Sabah, Perlis, Kedah dan Kelantan pula tidak mencapai tahap dedahan memuaskan dengan skor sekadar 35 hingga sembilan mata,” katanya.
Laporan penuh MyOBI 2026 boleh dicapai di laman web pantauwangkita.com.