SEREMBAN: Pusat Kajian, Ilham Centre meramal Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang membentuk kerjasama politik mampu merampas kerajaan negeri Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) esok.
Menurut kajian Iham Centre, BN dan PN berpotensi menang selesa di 22 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan sementara Pakatan Harapan (PH) pula diunjur cuma mempunyai sembilan kawasan selamat.
“Lima kerusi sukar diramal iaitu Chennah, Linggi, Nilai, Repah dan Temiang.
“Kesemua DUN itu memperlihatkan persaingan yang sangat dinamik dari segi demografi, sentimen setempat dan pertembungan personaliti calon,” katanya.
Ilham Centre berkata, kajian mendapati BN dan PN dilihat berjaya mencipta gelombang Melayu – Islam yang besar pada PRN Negeri Sembilan kali ini berbanding Johor sebelum ini.
Katanya, sebanyak 92 dan 75 peratus penyokong PN dan BN tidak kisah untuk memindahkan undi mereka kepada calon diputuskan kedua-dua gabungan di kawasan masing-masing biarpun bukan daripada parti dokongan mereka.
“Naratif kempen PH didapati hilang punca dan kurang berkesan malah dilihat tidak lagi mendapat undi kaum Cina secara automatik ekoran ketidakpuas hati mereka berhubung beberapa polisi PH dalam kerajaan Persekutuan.
“Perpindahan dari DUN Sikamat ke Linggi yang lebih mencabar telah mengehadkan Tok Min (Datuk Amiruddin Harun) untuk memainkan peranan menggerakkan jentera PH,” katanya.
Kajian Ilham Centre juga mendapati pengundi India semakin menjauhi PH ekoran tidak puas hati dengan pentadbiran kerajaan Pusat yang didakwa kurang sensitif dengan kaum itu.
Kebanyakan pengundi kali pertama juga dilihat sudah menetapkan pilihan mereka berdasarkan parti yang berjaya menguasai naratif dalam kempen biarpun tidak begitu mengenali calon bertanding.