SEREMBAN : Istana Negeri Sembilan menegaskan Institusi Diraja sentiasa berkecuali dan tidak terlibat dengan mana-mana parti atau kegiatan politik.
Sehubungan itu, semua parti politik dinasihatkan supaya tidak mengaitkan istana dalam ceramah dan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Perkara itu dinyatakan menerusi kenyataan media yang dikeluarkan Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan hari ini.
Menurut kenyataan itu, Institusi Raja merupakan payung perpaduan rakyat yang berperanan memelihara keharmonian, kestabilan serta kesejahteraan negara.
“Sehubungan itu, sebarang dakwaan, kenyataan, gambar, video atau bahan yang mengaitkan Istana Negeri Sembilan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku atau mana-mana Ahli Kerabat Diraja dengan parti politik adalah tidak benar,”katanya.
Dalam pada itu, kenyataan itu menyebut, semua calon yang bertanding pada PRN Negeri Sembilan ke-16 turut dinasihatkan supaya tidak memainkan isu berkaitan 3R (Agama, Raja dan Kaum).
“Semua pihak hendaklah berkempen secara berhemah, beretika dan mematuhi undang-undang demi memelihara keharmonian negeri.
“Istana Negeri Sembilan menghargai kerjasama semua pihak dalam memastikan Institusi Diraja terus dihormati dan dipelihara daripada sebarang salah tafsir atau eksploitasi bagi kepentingan mana-mana pihak,” katanya.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak menyebarkan atau mempercayai maklumat yang tidak disahkan serta sentiasa merujuk kepada saluran rasmi Istana Negeri Sembilan bagi mendapatkan maklumat yang sahih.