
SEREMBAN : DAP mengekalkan lapan penyandangnya bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini dengan hanya memperkenalkan tiga calon muka baharu daripada keseluruhan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi.
Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pendekatan tersebut diambil selepas parti menilai prestasi penyandang yang disifatkan mempunyai rekod perkhidmatan baik selain masih mendapat kepercayaan pengundi di kawasan masing-masing.
Menurut beliau, tiga calon baharu yang diberi tanggungjawab mewakili DAP ialah Lee Kai Yet di DUN Mambau, S. Mugunthan (Seremban Jaya) dan Ho Weng Wah (Temiang).
“Keutamaan kita adalah memastikan kesinambungan perkhidmatan kepada rakyat. Penyandang yang dikekalkan masih muda, mempunyai prestasi yang baik dan sudah dikenali oleh pengundi di kawasan masing-masing.
“Setiap kali pilihan raya kita akan membuat penilaian serta melihat calon-calon baharu yang berpotensi. Namun, disebabkan PRN Negeri Sembilan Ke-16 di luar jangkaan, maka proses peremajaan parti tidak dapat dilaksanakan seperti yang dirancang,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pengumuman Calon DAP bagi DUN Temiang di sini hari ini.
Anthony yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, parti mengambil pendekatan lebih berhati-hati kerana menganggap PRN kali ini adalah kritikal dan tidak mahu mengambil risiko yang boleh menjejaskan peluang mempertahankan kerusi yang dimenangi sebelum ini.
“Untuk setiap kerusi pelbagai faktor diambil kira terutama calon yang boleh memberi kesan kepada pola pengundian,” katanya.
Lapan penyandang yang dikekalkan ialah Anthony Loke (Chennah), Desmond Sian Meow Kong (Rahang), Teo Kok Seong (Bahau), J. Arul Kumar (Nilai), Chew Seh Yong (Lobak), Nicole Tan Lee Koon (Bukit Kepayang), Choo Ken Hwa (Lukut) dan S. Veerapan (Repah).
Mengulas pencalonan Ho Weng Wah di DUN Temiang, Anthony berkata, beliau merupakan anak tempatan yang mempunyai pengalaman luas dalam parti selepas hampir 15 tahun berkhidmat.
“Weng Wah juga pernah menjadi Setiausaha Politik saya dan menguruskan pelbagai urusan termasuk peruntukan di Parlimen Seremban. Saya yakin beliau memiliki kredibiliti serta komitmen tinggi untuk meneruskan khidmat kepada rakyat,” katanya.