Mahkamah denda Chegubard RM5,000, berisiko tidak dibenar bertanding PRN Negeri Sembilan

SEREMBAN : Aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard berkemungkinan terlepas peluang untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dijadual berlangsung pada 1 Ogos depan setelah dikenakan hukuman denda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini.

Chegubard yang merupakan ahli parti Parti Wawasan Negara (Wawasan) yang baharu diterima sebagai komponen Perikatan Nasional (PN) dijatuhi hukuman itu oleh Hakim Rasidah Roslee atas kesalahan menerbitkan penerbitan menghasut pada dua tahun lalu.

Terdahulu peguamnya, Muhammad Rafique Rashid Ali merayu anak guamnya agar tidak dipenjara mahupun didenda melebihi RM2,000.

Beliau berkata, ia kerana hukuman terbabit boleh menyebabkan Chegubard
yang juga bekas Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Port Dickson berisiko hilang kelayakan untuk bertanding dalam pilihan raya.

“Chegubard dijangka akan bertanding sebagai calon mewakili PN pada PRN Negeri Sembilan tidak lama lagi,” katanya dalam rayuannya kepada mahkamah.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa menerbitkan penerbitan menghasut yang mengaitkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim; Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dua individu lain didakwa taikun judi dengan projek kasino di Forest City di media sosial pada pukul 6.30 petang, 26 April 2024.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *