REMBAU: Satu notis pengosongan premis Balai Luak Rembau dikeluarkan Pegawai Daerah Rembau yang mengarahkan premis berkenaan dikosongkan dalam masa 24 jam.
Difahamkan, notis yang ditampal pada pagar premis itu susulan Hassan Ab Hamid dizahirkan kejadian sebagai Dato’ Sedia Raja Undang Luak Rembau ke-22, di Istana Seri Menanti, Kuala Pilah, 27 Jun lalu.
“Bahawasanya tuan/puan telah mendiami/ menduduki premis kerajaan tanpa kebenaran. Dengan itu, tuan/puan dikehendaki supaya mengosongkan premis YTM Undang Luak Rembau dalam tempoh 24 jam dari pengeluaran notis ini,” menurut notis merah itu.
Dalam pada itu, Peguam Emirul Sarifudin Nor Azmi, yang mewakili Undang Luak Rembau, Abdul Rahim Yassin berkata, arahan pengosongan itu tidak sah dan bertentangan adat serta undang-undang.
“Tindakan mengarahkan pengosongan dalam tempoh 24 jam ini seoalah-olah cubaan untuk menafikan hak serta prerogatif Dato’-Dato’ Lembaga Adat Luak Rembau yang sah dan berkuatkuasa,” katanya, hari ini.
Tambahnya, notis itu juga tidak langsung menyatakan peruntukan undang-undang mana yang digunapakai Pegawai Daerah untuk mengarahkan pengosongan, maka ia bukanlah satu Notis Statutori.
“Tindakan oleh mana-mana pegawai kerajaan yang dibuat tanpa berlandaskan lunas undang-undang dan arahan yang sah dan jelas serta berpelembagaan adalah terjumlah kepada salah guna kuasa yang boleh dikenakan tindakan tatatertib dan juga jenayah.
“Tindakan kerajaan juga tidak boleh melangkaui batas kuasa kerana hak dan prerogatif adat Dato’-Dato’ Lembaga Adat Luak Rembau dalam Luak Rembau adalah dilindungi di bawah perkara 32 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959,” katanya.
Ujar beliau, pihak Pegawai Daerah Rembau dan kerajaan negeri juga perlu bertindak mengikut lunas undang-undang dan tidak menggunakan pendekatan paksaan.
“Sebarang permohonan mendapatkan Writ Milikan premis boleh dibuat melalui mahkamah tanpa perlu membabitkan kekecohan di dalam situasi krisis adat di Negeri Sembilan yang semakin meruncing kini.
“Sudah pasti mahkamah akan menilai segala fakta dan mengeluarkan perintah yang sewajarnya berkenaan hak milik premis ini dan pihak-pihak perlu akur,” katanya.
Gambar ihsan pembaca