
SEREMBAN: Bekas menteri dan bekas EXCO kerajaan negeri antara 14 diumumkan sertai PAS, malam semalam.
Pengumuman tersebut dibuat oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada Program Ceramah Umum Ambang Pilihan Raya di Markas Pas Seremban di sini malam semalam.


Antara nama besar termasuk bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Mohd Zaid Ibrahim, Bekas EXCO Negeri Sembilan dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan, Datuk Dr Mohamad Rafie Abdul Malek serta bekas Setiausaha Sulit kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Rahimi Osman.

Beliau berkata, 14 individu yang menyertai Pas itu terdiri dari pelbagai tokoh mempunyai latar belakang serta berpengalaman dan berpengaruh dalam pelbagai bidang.

14 individu tersebut antaranya bekas Pengerusi Parti Amanah Negara(Amanah) Negeri Sembilan, Dr Rosli Yaakob; Bekas Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Lembah Pantai, dan Datuk Muqarrabin Moktarruddin, bekas Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Md. Nasir Ibrahim dan bekas pemain bola sepak profesional, Azlan Johar.

Bekas pemimpin UMNO turut diumumkan menyertai parti tersebut, antaranya bekas Naib Ketua Pemuda UMNO Padang Serai, Saiful Azli Saiful Rizwan; bekas Setiausaha UMNO Bahagian Ketereh, Datuk Ahmad Tarmizi Musa; bekas Exco Pemuda UMNO, Mustapha Shah dan bekas Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Hamidah Osman.
Penyertaan mereka dijangka memperkukuhkan usaha PAS dan memperluaskan lagi pengaruh parti itu dengan menarik lebih ramai golongan profesional, bekas penjawat awam serta pemimpin politik berpengalaman ke dalam saf perjuangannya.












