
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau sama sekali tidak pernah mencampuri krisis adat dan sistem pemerintahan beraja di Negeri Sembilan.
Menurutnya, Kerajaan Persekutuan juga akan terus mematuhi keputusan yang dibuat mengikut saluran undang-undang tanpa sebarang campur tangan politik.
“Saya ada hubungi Undang dan ada kita bincang. Saya tidak pertikai Adat Perpatih, Undang atau Luak. Itu semua tertakluk kepada Perlembagaan negara dan peraturan yang ada. Apa-apa perubahan dibuat mengikut undang-undang dan proses yang teratur, kita akur, patuh dan taat kepada sistem yang sedia ada,” katanya.

Beliau berkata, institusi raja tidak seharusnya dijadikan bahan pertikaian politik kerana tindakan sedemikian boleh menjejaskan kestabilan negara dan keharmonian masyarakat.
Selain itu, beliau turut menyatakan sokongan penuh agar Datuk Seri Aminuddin Harun terus memimpin Negeri Sembilan sebagai Menteri Besar sekiranya gabungan itu kembali diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) di Karisma Arena di Seremban, baru-baru ini.