
SEREMBAN : Bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Asna Amin, menjawab lebih 60 soalan ketika memberi keterangan kepada polis Bukit Aman berhubung kemelut pentadbiran negeri itu hari ini.
Mohd. Asna yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng berkata, beliau bersama sembilan lagi bekas Exco serta beberapa individu lain dipanggil memberi keterangan secara berasingan oleh pasukan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.
Petugas media mendapati beberapa bekas Exco beredar dari Menara Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) di sini kira-kira pukul 2 petang selepas hampir tiga jam berada di lokasi berkenaan.
Pasukan polis USJT Bukit Aman yang dipercayai memulakan proses mengambil keterangan sejak pukul 11 pagi turut dilihat meninggalkan bangunan itu kira-kira pukul 2.15 petang.
Mohd. Asna berkata, beliau mengambil masa lebih setengah jam untuk menjawab soalan berkaitan krisis pentadbiran yang sedang berlaku di negeri ini.
“Saya sendiri memberi keterangan lebih setengah jam dengan lebih 60 soalan perlu dijawab berkaitan krisis pentadbiran Negeri Sembilan.
“Buat masa ini, kami sekadar mengambil keterangan dan difahamkan ramai lagi akan dipanggil. Semua profesional dan kita juga menjawab soalan secara profesional serta baik,” katanya ketika ditemui di Menara MAINS di sini hari ini.
Beliau turut memaklumkan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim, tidak hadir untuk memberi keterangan kepada pihak polis Bukit Aman.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd. Asna berkata, beliau dan bekas Exco lain akan memulangkan kenderaan rasmi kerajaan negeri hari ini selepas menerima surat arahan daripada Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).
“Saya pun tak baca surat itu tadi, tapi kita diminta pulangkan, jadi kita kena pulangkan semua barang-barang (rasmi kerajaan), kita pulangkanlah kenderaan hari ini,” katanya.
Mengulas mengenai kemelut pentadbiran negeri, beliau berharap perkara itu dapat diselesaikan segera selepas barisan bekas Exco mengadakan pertemuan dengan Ismail malam tadi.
“Kita nak cari jalan penyelesaian untuk atasi kemelut yang berlaku di Negeri Sembilan. Kerajaan kena berjalan, belanjawan negeri dah dekat.
“Apa-apa pun kita meletakkan kepentingan rakyat melebihi kepentingan kami,” katanya.
Sementara itu, bekas Exco daripada Pas, Fairuz Isa yang juga ADUN Serting berkata, beliau turut memberi keterangan selama kira-kira dua jam berhubung krisis pentadbiran berkenaan dan menjawab semua soalan yang dikemukakan dengan baik.
Semalam, media melaporkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Khalid Ismail berkata, polis telah memanggil beberapa individu bagi merakam keterangan berhubung siasatan berterusan terhadap beberapa laporan berkaitan institusi diraja Negeri Sembilan.
Menurut beliau, individu terbabit termasuk mereka yang dikaitkan secara langsung dengan laporan berkenaan, manakala proses merakam keterangan dijangka diteruskan.
Pada 20 September lalu, pihak Istana Negeri Sembilan mengumumkan pembatalan pelantikan 10 Exco berkenaan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, berkuat kuasa serta-merta sebelum perkara itu diwartakan.
Kesemua 10 bekas Exco terbabit terdiri daripada tujuh wakil UMNO iaitu Datuk Mustapha Nagoor (Palong), Datuk Faizal Ramli (Linggi), Datuk Zaiful Bahri Idris (Chembong), Datuk Razi Ali (Sungai Lui), Datuk Mohd. Asna Amin (Lenggeng), Siti Nur Umaira Hasim (Labu) dan Suhaimizan Bizar (Gemencheh).
Tiga lagi ialah Siow Kong Choon (Chennah) daripada MCA, Fairuz Isa (Serting) daripada Pas serta Datuk Razali Abu Samah (Sikamat) daripada Wawasan.
Warta berkenaan turut menyatakan bahawa berdasarkan Perkara 38(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, seseorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri selain Menteri Besar memegang jawatan selama diperkenan oleh Yang di-Pertuan Besar.