Tiada pencerobohan warga asing, hanya pekerja syarikat dilantik UKM selenggara ladang

KUALA PILAH : Tiada pencerobohan atau kewujudan penempatan warga asing di kawasan Stesen Penyelidikan Biofuel Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Selaru di sini seperti yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Muhamad Mustafah Hussin berkata, hasil siasatan awal mendapati kawasan itu merupakan ladang Stesen Penyelidikan Biofuel milik UKM yang diusahakan bagi tujuan penyelidikan melibatkan tanaman kelapa sawit di kawasan seluas kira-kira 80 ekar.

“Pemeriksaan mendapati bangunan bekas pejabat dan beberapa infrastruktur di kawasan tersebut mengalami kerosakan akibat faktor usia serta kurang penyelenggaraan, selain terdapat kehilangan beberapa barangan.

“Siasatan juga mendapati terdapat pekerja warga asing yang tinggal di sebuah rumah di dalam kawasan ladang berkenaan. Mereka merupakan pekerja kepada syarikat yang dilantik oleh pihak UKM bagi menjalankan kerja-kerja pengurusan dan penyelenggaraan ladang,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Muhamad Mustafah berkata, semakan awal mendapati seorang daripada pekerja tersebut merupakan penduduk tetap (PR) Malaysia manakala dua lagi warga Indonesia sedang dalam proses pembaharuan permit kerja.

Jelas Muhamad Mustafah, berhubung pencerobohan yang didakwa berlaku, siasatan mendapati kawasan berkenaan sebelum ini tidak berpagar sepenuhnya sehingga membolehkan orang awam dan kenderaan keluar masuk dengan mudah.

“Bagaimanapun, pihak syarikat pengurusan ladang telah mengambil tindakan memasang pagar di laluan masuk bagi mengelakkan sebarang pencerobohan pada masa akan datang,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih sehingga boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

“Sebarang maklumat berkaitan perkara ini hendaklah disalurkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Terdahulu tular di laman sosial dakwaan serta beberapa keping gambar kewujudan penempatan warga asing di bangunan berkenaan dan pihak berwajib digesa mengambil tindakan bagi keselamatan penduduk.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *