SEREMBAN: Penduduk daerah ini pastinya mengetahui mengenai kewujudan Terowong Pejalan Kaki di pusat bandar yang menghubungkan Terminal 1 dan Stesen KTM Seremban.
Malah, difahamkan laluan berkenaan adalah satu-satunya terowong bawah tanah di tengah bandar di Malaysia yang menghubungkan dua lokasi bagi memudahkan pejalan kaki.

Bagi orang Negeri Sembilan khususya warga Seremban, sudah pasti mereka mempunyai banyak pengalaman ketika menggunakan laluan berkenaan suatu ketika dahulu.

Namun, terowong berkenaan kini sudah dinaiktaraf melalui khidmat masyarakat Perbadanan Aset Keretapi (RAC), pada 2024 dengan mengindahkan laluan serta pembinaan arca.

Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan, J Arul Kumar berkata, projek berkenaan bagi menggalakkan orang ramai menggunakan terowong berkenaan.
“Arca ini diberi nama The Railman dan The Messenger iaitu dua hasil seni awam yang diperbuat daripada peralatan semboyan dalam operasi keretapi untuk meraikan warisan keretapi Malaysia.
“Ia disusun menyerupai bentuk manusia abstrak sebagai tanda penghormatan kepada semua kakitangan kereta api yang berkhidmat dan menyumbangkan kepada pembangunan sektor ini,” katanya.
