SEREMBAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Datuk Mohd. Asna Amin mengesahkan semua 10 bekas Exco kerajaan Negeri Sembilan yang ditarik balik perkenan pelantikan telah menyerahkan kenderaan rasmi masing-masing.
Bekas Exco Perindustrian, Teknologi, Inovasi dan Digital Negeri Sembilan itu berkata, pemulangan itu dilakukan selepas menerusi arahan rasmi daripada
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim baru-baru ini.
“Sejak pewartaan (pelucutan perkenan jawatan) itu, saya tidak lagi menggunakan kenderaan rasmi. Kami mematuhi arahan dikeluarkan.
“Tidak mengapa, apa jua arahannya,” katanya di sini hari ini.
Asna berkata, kesemua bekas Exco juga tidak memasuki pejabat masing-masing di Wisma Negeri, di sini, sejak 24 September lalu.
Beliau berkata, sebaliknya, mereka berkhidmat dari pusat khidmat DUN masing-masing.
“Operasi di Wisma Negeri pula kini dikendalikan pegawai ADUN dilantik,” katanya.