SEREMBAN: Polis Negeri Sembilan menjelaskan penugasan pasukannya di beberapa lokasi termasuk Galeri Diraja Tuanku Jaafar, Balai Undang Luak Sungei Unjong dan Wisma Negeri, di sini, semalam bertujuan memastikan keselamatan awam.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, begitu juga dengan pelaksanaan pengurusan akses ke Wisma Negeri terhadap Exco kerajaan negeri.
“Tindakan ini dibuat sejurus pengumuman Istana Negeri Sembilan bagi memastikan aspek keselamatan, ketenteraman awam dan kelancaran urusan di premis berkenaan (Wisma Negeri).
“Ia bagi mengelak sebarang keadaan yang boleh mencetuskan ketegangan atau menjejaskan ketenteraman awam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sehubungan itu, Alzafny berharap tindakan tersebut tidak ditafsirkan sebagai memihak atau memberi pengiktirafan kepada mana-mana pihak.
Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus melaksanakan tugas secara profesional, adil dan berlandaskan undang-undang tanpa memihak pada mana-mana pihak.
“Orang ramai dinasihatkan kekal tenang dan menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan.
“PDRM tidak akan berkompromi terhadap sebarang perbuatan melanggar undang-undang, mencetuskan provokasi, mengganggu ketenteraman awam atau mengancam keselamatan mana-mana individu dan institusi,” katanya.