SEREMBAN : Barisan Peguam Adat Melayu Negeri Sembilan memohon supaya Majlis Raja-Raja meneliti keseluruhan proses yang berlaku dalam krisis negeri ini bagi memastikan setiap tindakan yang diambil menepati Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959 serta prinsip kedaulatan undang-undang.
Menurut Barisan Peguam Adat Negeri Sembilan, penelitian itu perlu dibuat berdasarkan keseluruhan kronologi peristiwa yang menyentuh kedudukan Raja Pemerintah dan Undang Luak, bukannya hanya berdasarkan perkembangan terbaharu.
Katanya, rangkaian peristiwa berkenaan bermula dengan mesyuarat Dewan Keadilan dan Undang (DKU) pada 5 Mac 2026, diikuti perkembangan pada 17 April sebelum keputusan empat Undang pada 19 April lalu.
“Setiap peringkat proses ini mempunyai kaitan langsung dengan kedudukan Yang di-Pertuan Besar dan Undang Luak dan perlu diteliti secara berurutan, bukan secara terpisah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurutnya, isu berhubung kedudukan Raja dalam krisis berkenaan juga tidak terhad kepada persoalan Yang di-Pertuan Besar semata-mata.
Sebaliknya, katanya, isu pelucutan jawatan Undang Luak Sungei Ujong dan Undang Luak lain turut menyentuh kedudukan Raja berdasarkan tafsiran UUTKNS 1959.
“Mana-mana pihak yang mendakwa mempertahankan institusi Raja Negeri Sembilan tidak wajar mengamalkan sebarang bentuk diskriminasi layanan antara Yang di-Pertuan Besar dan Undang-Undang Luak yang terbabit,” katanya.
Sehubungan itu, barisan peguam adat berkenaan memohon limpah perkenan Majlis Raja-Raja untuk meneliti proses yang telah berlaku, khususnya berkaitan penurunan takhta serta penggantian Yang di-Pertuan Besar dan Undang Luak.
Katanya, penelitian itu penting bagi menilai sama ada tindakan berkenaan dilaksanakan selaras dengan UUTKNS 1959 dan prinsip rule of law.
“Permohonan supaya Majlis Raja-Raja memberikan nasihat ini perlu dibezakan daripada percubaan mengambil alih fungsi pihak berkuasa negeri seperti yang diperuntukkan di bawah UUTKNS 1959,” katanya.
Menurutnya, peranan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja dalam konteks tersebut adalah untuk meneliti semula, memberi nasihat serta memastikan proses yang berlaku menepati kehendak undang-undang.
“Peranan ini boleh dilihat sebagai sebahagian daripada tafsiran jaminan Persekutuan di bawah Perkara 71(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan, khususnya dalam keadaan yang telah mencapai tahap kritikal seperti sekarang,” katanya.
Dalam pada itu, Barisan Peguam Adat Melayu Negeri Sembilan menegaskan fungsi Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu di bawah Perkara 71(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan adalah berbeza daripada peranan pihak berkuasa negeri dalam menjalankan prerogatif dan kuasa mengikut kerangka perlembagaan negeri.
Mereka turut berpandangan pihak berkuasa Persekutuan, termasuk Perdana Menteri dan Pejabat Peguam Negara, tidak sewajarnya campur tangan dalam urusan kenaikan atau penurunan takhta yang menurut mereka diperuntukkan secara khusus di bawah UUTKNS 1959.
Malah, mereka mendakwa sebarang pengiktirafan tidak wajar dibuat secara semberono tanpa memahami fakta serta situasi sebenar dan mengambil pendirian berpihak.
Dalam kenyataan sama, sekretariat itu turut menjelaskan struktur adat Negeri Sembilan membabitkan Undang Yang Empat yang mengetuai empat luak utama iaitu Sungai Ujong, Rembau, Jelebu dan Johol.
Barisan Peguam Adat Melayu Negeri Sembilan berharap penelitian oleh Majlis Raja-Raja dapat dilaksanakan secara adil, saksama dan segera bagi memelihara hak Raja serta keutuhan UUTKNS 1959 sebagaimana yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.