SEREMBAN, Kesemua 17 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta 2 penyelaras DUN daripada Pakatan Harapan (PH) telah memulangkan baki peruntukan kerajaan terdahulu sebelum 10 Julai.

Wakil ADUN PH, J. Arul Kumar berkata, semua wakil rakyat pembangkang telah menggunakan sebahagian peruntukan untuk kebajikan rakyat, malah ada yang telah membelanjakan keseluruhannya.
Beliau menegaskan dana tersebut tidak digunakan untuk kepentingan peribadi atau politik, sebaliknya disalurkan kepada golongan memerlukan, NGO, rumah ibadat, sekolah dan mereka yang menghadapi masalah kesihatan.
“Kalau duit itu masih ada dalam akaun Pusat Khidmat, kita sudah pulangkan balik. Kita tidak mahu simpan duit itu,” katanya pada sidang media mengenai pemulangan dana kepada ADUN di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Seremban, hari ini.

Beliau berkata, peruntukan disalurkan secara suku tahunan dan bukan secara bulanan, semua ADUN PH serta dua penyelaras telah menghantar laporan kewangan hingga 30 Jun lalu kepada Pejabat Menteri Besar sebagaimana diarahkan, manakala baki peruntukan yang masih ada dipulangkan sebelum 10 Julai lalu.
Sehubungan itu, Arul Kumar berkata, pihaknya berharap kerajaan negeri meneliti semula perkara itu berdasarkan laporan kewangan yang telah dikemukakan dan beliau bercadang menemui Menteri Besar, Ismail, dalam masa terdekat bagi menjelaskan perkara berkenaan dan bukan untuk kepentingan diri, katanya.
