PRN NS: Pengundi Cina sambut baik Manifesto BN

PORT DICKSON : Manifesto Barisan Nasional (BN) yang dilancarkan Jumaat lalu mendapat sambutan baik dalam kalangan pengundi Cina di Negeri Sembilan.

Calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chuah, Pau Jeou Ching berkata, rata-rata pengundi Cina ditemuinya menaruh keyakinan tinggi ekonomi Negeri Sembilan akan memuncak sekiranya BN memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 1 Ogos ini.

Beliau berkata, golongan peniaga dalam kalangan kaum juga berpuas hati dengan dasar-dasar ekonomi dikemukakan BN dalam manifesto terbabit.

“Peniaga-peniaga (Cina) sangat gembira (dengan Manifesto BN).

“Pengundi-pengundi Cina pun percaya Manifesto BN dapat membantu B40 dan M40 (golongan berpendapatan rendah dan sederhana),” katanya ketika ditemui di Bukit Pelandok di sini semalam.

Manifesto BN yang dilancarkan Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan pada Jumaat menjanjikan Negeri Sembilan kekal mesra pelabur dengan sasaran menarik RM30 bilion pelaburan dalam tempoh lima tahun.

Sebanyak 50,000 peluang pekerjaan termasuk 5,000 berpendapatan tinggi akan diwujudkan buat anak negeri dalam tempoh sama.

Dalam pada itu, Jeou Ching berkata, jentera BN akan melipat ganda usaha mendekati seramai pengundi pada minggu kedua kempen bagi merampas DUN Chuah daripada Pakatan Harapan (PH) yang diwakili Datuk Yew Boon Lye dari Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Beliau berkeyakinan usaha untuk menawan DUN Chuah tidak mustahil berdasarkan maklum balas pengundi sejak hari penamaan calon pada 18 Julai lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *