PRN NS: BN cuma umum 25 calon, baki masih dirunding dengan ‘kawan’

SEREMBAN : Barisan Nasional (BN) hanya mengumumkan 25 calon yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 pada 1 Ogos depan.

Baki 11 DUN termasuk kerusi-kerusi yang ditandingi calon-calon ‘heavyweight’ Pakatan Harapan (PH) seperti Sikamat, Paroi dan Ampangan masih menimbulkan tanda tanya terutama dalam kalangan penyokong BN.

Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pengumuman lain akan dibuat berhubung calon yang bakal bertanding di kerusi-kerusi berkenaan.

Timbalan Pengerusi BN itu juga mengesahkan penangguhan tersebut disebabkan BN akan menjalin kerjasama dengan parti politik lain dipercayai Pas dalam menghadapi PRN Negeri Sembilan kali ini.

“Baki 11 DUN lagi tak umum malam ini dan akan diumum nanti sebab BN ada persefahaman dengan ‘kawan’.”

“Jangan risau ‘kawan’ kita bukan yang kek Linggi (Datuk Seri Aminuddin Harun),” katanya pada majlis pengumuman calon BN bagi PRN Negeri Sembilan di Paroi di sini sebentar tadi.

11 kerusi DUN itu ialah Klawang, Serting, Lobak, Ampangan, Sikamat, Bukit Kepayang, Mambau, Paroi, Lukut, Bagan Pinang dan Gemas.

Dalam pada itu, Mohamad yang juga Menteri Luar Negeri akan sekali lagi mempertahankan DUN Rantau manakala bekas Exco Kanan negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias juga kekal di DUN Pertang.

Penyandang DUN Linggi, Datuk Mohd. Faizal Ramli diberi kepercayaan berhadapan Aminuddin mewakili Pakatan Harapan (PH) yang berpindah dari Sikamat.

Setakat ini, UMNO bakal bertanding di 16 kerusi, MCA (tujuh) manakala MIC (dua).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *