SEREMBAN : Ahli perniagaan, Albert Tei menarik diri daripada bertanding sebagai calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 1 Ogos depan.
Albert atau nama sebenarnya Tei Jiaan Cheing, 37 berkata, keputusan itu dibuat selepas beliau mengadakan pertemuan dengan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong.
Beliau menerusi media sosial Facebook berkata, langkah itu diambil untuk memberi laluan kepada calon MCA yang mewakili Barisan Nasional (BN), John Siow Kong Choon.
“Semalam saya telah berjumpa dengan Datuk Seri Wee Ka Siong (Presiden MCA).Selepas perbincangan dengan beliau, saya membuat keputusan untuk tarik diri bertanding di DUN Chennah, Negeri Sembilan melawan Anthony Loke Ketua Pemimpin DAP.
“Saya menyokong penuh calon MCA BN John Siow untuk bertanding di kerusi tersebut kerana saya telah membuat saringan bahawa beliau merupakan seorang yang berjiwa rakyat serta berkredibiliti menggalas amanah tersebut,” kongsinya di Facebook @Reformati Studio “Albert Tei” hari ini.
Menurut Albert, dia akan memberikan sokongan sepenuhnya kepada John Siow selain turun berkempen bagi calon BN sepanjang PRN Negeri Sembilan bermula 18 hingga 31 Julai nanti.
“Saya juga telah memaklumkan kepadan John Siow bahawa saya akan berdiri di sebelahnya pada hari penamaan calon pada 18 Julai ini.
“Saya berjanji akan melakukan segala yang termampu untuk membantu BN menggulingkan Anthony Loke di DUN Chennah dan menumbangkan Pakatan Harapan (PH) di Negeri Sembilan” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Albert tidak menolak kemungkinan bertanding pada PRN Negeri Sembilan di kerusi DUN Chennah atas tiket parti Perikatan Nasional (PN) yang kini disandang Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook.