SEREMBAN : Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengenalpasti 26 hotspot yang berisiko berlaku ketengangan sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 yang dijadual berlangsung pada 1 Ogos depan.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, sebanyak 19 lokasi pula dikenalpasti sebagai flashpoint yang dikhuatiri boleh mencetuskan ketegangan berdasarkan isu tertentu sepanjang tempoh sama.
“Kesemua lokasi hotspot dan flashspot berkenaan dinilai berdasarkan sumber risikan, pengalaman pilihan raya terdahulu dan perkembangan semasa.
“Sebanyak 11 lokasi hotspot terdapat di Seremban, Jempol dan Tampin masing-masing lima, Nilai (tiga) dan Rembau (dua),” katanya di sini semalam.
Alzafny berkata, sebanyak 19 lokasi flashpoint pula dikenalpasti di Seremban, Nilai dan Port Dickson.
Beliau berkata, pegawai dan anggota polis akan ditempatkan di semua lokasi hotspot dan flashslot terbabit bagi mengawal keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang tempoh PRN.
“Kita bersedia menambah kekuatan anggota termasuk mendapatkan bantuan Bukit Aman dan kontinjen negeri berhampiran jika situasi menjadi terlalu sentisif,” katanya.
Penamaan calon PRN Negeri Sembilan ke-16 akan berlangsung pada 18 Julai ini sebelum pengundian awal (28 Julai) dan hari mengundi (1 Ogos).