
SEREMBAN – Istiadat Pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Ke-15 hari ini berjalan lancar.
Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir tiba di bangunan DUN kira-kira pukul 9.35 pagi diiringi Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.
Tuanku Muhriz kemudian memeriksa barisan kawalan keselamatan yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat Batalion Ke-14 Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Syed Sirajuddin Gemas.
Bagaimanapun, Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin tidak kelihatan pada istiadat berkenaan seperti kelaziman.
Istitiadat DUN kelazimannya akan turut dihadiri Undang Yang Empat, iaitu Datuk Mubarak Dohak (Sungei Ujong), Datuk Maarof Mat Rashad (Jelebu), Datuk Muhammad Abdullah (Johol) dan Datuk Abdul Rahim Yasin (Rembau) serta Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al Qadri (Tunku Besar Tampin).
Sebaik selesai upacara perbarisan itu, Tuanku Muhriz kemudian memasuki dewan DUN untuk atur cara berikutnya, iaitu titah diraja.
Sidang DUN Negeri Sembilan dijadual berlangsung selamat empat hari bermula hari ini sebelum disambung semula pada 27 April ini.
Negeri Sembilan mempunyai 36 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dipimpin Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Terdahulu, lebih 50 individu hadir menyatakan sokongan kepada Tuanku Muhriz dengan berhimpun di luar Istana Hinggap dan menyerahkan memorandum sokongan kepada baginda dan Aminuddin.
Ketua Sekretariat Sokongan dan Taat Setia Kepada Yang Di-Pertuan Besar dan Menteri Besar, Profesor Dr. Mohd. Aluwi Sari telah menyerahkan memorandum itu kepada Tunku Kecil Muda, Tunku Datuk Mahmood Fawzy Tunku Muhiyiddin di hadapan Istana Hinggap pada pulul 8.45 pagi tadi.
Krisis di Negeri Sembilan mencuri tumpuan susulan tindakan undang luak menggunakan kuasa mereka untuk menyingkirkan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar ketika Undang Sungei Ujong pula didakwa sudah dipecat.
nogoripost #yamtuan #yangdipertuanbesar #tuankumuhriz #undang #sidangdun