SEREMBAN: Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook berjanji terus kekal sebagai Menteri Pengangkutan selagi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kekal berada di Penjara Kajang.
Setiausaha Agung DAP itu berkata, surat peletakan jawatannya yang dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam berkuatkuasa sebaik Najib pulang ke rumah untuk menjalani baki hukuman penjaranya.
Beliau berkata, ketetapan itu hasil perbincangannya dengan Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH).
“Beliau (Anwar) menasihati saya meneruskan tugas (sebagai Menteri Pengangkutan) buat sementara waktu.
“Sudah tentu, saya tetap dengan keputusan parti (DAP) untuk melepaskan jawatan sebagai Menteri (Pengangkutan). Tarikh kuat kuasa akan diputuskan Perdana Menteri,” katanya di Kuala Lumpur hari ini.
Anthony berkata, beliau menjelaskan keputusan meletakkan jawatan dalam Kabinet adalah respons dan pendirian DAP terhadap keputusan memberi keringanan terhadap hukuman dikenakan kepada Najib.
Menurutnya, sebagai Setiausaha Agung, beliau bertanggungjawab menterjemah
penegasan pendirian parti tersebut.
Sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah agar Najib diberi
pengampunan bersyarat menjalani baki hukuman penjaranya menerusi tahanan rumah hingga 23 Ogos 2028 dengan membayar denda RM50 juta.