SEREMBAN: Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Khalid Ismail mengesahkan akan memanggil beberapa individu termasuk bekas Exco Kerajaan Negeri Sembilan yang dibatalkan pelantikan oleh Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bagi membantu siasatan kes berkaitan institusi diraja negeri itu.
Beliau berkata, kertas siasatan telah dibuka berikutan beberapa laporan yang diterima sebelum ini.
“Kita akan mengambil kenyataan daripada mereka berkaitan bermula Isnin (esok) atau Selasa (lusa).
“Ia termasuk mantan Exco, Undang dan Menteri Besar (Negeri Sembilan),” katanya di Butterworth, Pulau Pinang hari ini.
Mohd. Khalid berkata, kertas siasatan akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara sebaik semua keterangan selesai diambil.
Beliau berkata, Jabatan Peguam Negara yang akan mengesyorkan sama ada kes akan dipanjangkan kepada pertuduhan mengikut akta ditetapkan kelak.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohdm Khalid memberitahu, keselamatan dan ketenteraman di Negeri Sembilan berada dalam keadaan terkawal dan aman.