SEREMBAN : Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menolak gesaan 10 bekas presiden Majlis Peguam agar kerajaan Persekutuan campur tangan menyelesaikan kemelut institusi raja dan adat yang sedang berlaku di Negeri Sembilan.
Beliau sebaliknya meminta semua pihak menghormati hak orang Negeri Sembilan dalam menyelesaikannya sendiri mengikut Adat Perpatih selaras dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959 dan Perlembagaan Malaysia.
“Negeri Sembilan agak unik berbanding negeri lain. Pada pandangan peribadi saya, kita kena menghormati Negeri Sembilan kerana ada undang-undang serta perlembagaannya sendiri.
“Biarlah orang Negeri Sembilan sendiri yang mencari penyelesaian. Saya orang Johor dan menggunakan Adat Temenggung, berlainan dengan Adat Pepatih,” katanya di Kuala Lumpur hari ini.
Terdahulu 10 bekas presiden Majlis Peguam menggesa kerajaan Persekutuan campur tangan berhubung kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Begitupun, Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin mengecam sebarang usaha cuba mencabuli prerogatif serta hak perlembagaan Adat Perpatih dalam memilih dan menurunkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.